Pages

Thursday 24 February 2011

~Insya-Allah Ada Hikmahnya~




Seorang pemuda menjaga kambing-kambing peliharaannya dengan menunggang kuda kesayangannya. Ke sana ke mari dia bergerak menunggang kudanya. Suatu hari , tiba-tiba kuda kesayangannya itu hilang dari kandangnya. Puas dicarinya merata-rata tempat tapi tidak berjumpa.


“Ayah, kuda kesayangan saya hilang,” adunya kepada ayahnya.
“Tidak mengapa, insya-Allah pasti ada hikmahnya,” jawab ayahnya tenang.
“Apalah hikmahnya,” bisik si pemuda itu dalam hati.


Selang beberapa hari, tanpa disangka-sangka kudanya itu pulang tanpa cacat sela. Sihat. Bukan itu sahaja, malah kuda itu membawa beberapa ekor kuda liar bersama-samanya.


“Ayah, kita sungguh bernasib baik. Sekarang kita sudah ada beberapa ekor kuda. Kuda kita bertambah.”
“Belum tentu kita bernasib baik anakku. Tetapi yang pasti semua ini pasti ada hikmahnya.” Jawab ayahnya dalam keadaan tenang seperti biasa.


Si pemuda terus tertanya-tanya akan sikap ayahnya. Mengapa dia tidak begitu gembira ketika bilangan kudanya bertambah. Setiap hari pemuda itu asyik dengan kuda-kuda barunya. Kesemuanya sedang diusahakan untuk dijinakkan. Ketika sedang melatih salah seekor daripadanya, pemuda itu terjatuh dan patah kakinya. Ketika sedang terbaring beberapa hari di rumahnya, pemuda itu  berkata kepada ayahnya,


“Malang sungguh nasib saya ayah. Apalah gunanya kuda-kuda yang banyak ini apabila kaki saya sekarang ini patah.”
Sebaliknya ayah itu tetap berkata, “Tak mengapa anakku. Jangan bersedih. Apa yang menimpa dirimu insya-Allah ada hikmahnya.”
“Apa hikmahnya ayah? Sekarang saya tak boleh berjalan lagi. Kuda-kuda kita akan terbiar tanpa penjagaan dan tanpa diberi makan.”


Beberapa hari kemudian, kampong mereka diserang oleh para penjahat yang menceroboh sempadan negara. Selain merompak harta benda penduduk, mereka juga turut menangkap semua kekaji muda untuk dilatih menjadi ahli kumpulan mereka. Semua lelaki muda di kampung itu diikat dan diheret kecuali seorang…. Ya, lelaki yang patah kaki itu. Dia tidak dibawa bersama kerana dia tidak berupaya berjalan.
“Ayah, kini saya sedar, apa yang tersirat di sebalik kata-kata ayah. Semua yang berlaku ada hikmahnya.”


PENGAJARAN
Hidup adalah silih berganti antara nikmat dan musibah. Apa yang paling penting, kita mesti selalu berbaik sangka dengan takdir tanpa mengurangkan sedikit pun kesungguhan kita untuk mentadbir. Pujuklah hati kita dengan selalu berbisiknya, insya-Allah apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmahnya.



No comments:

Post a Comment