Pages

Tuesday 12 November 2013

Aku Yang Munafik

Alhamdulillah 8 November 2013 yang lalu, cukup dua bulan aku tinggal di rumah sewa dengan housemate aku. Dalam pada itu macam-macam ragam yang aku lalui. Daripada 4 orang, sekarang dah 6 orang penghuni tetap. Aku tak tahu mana nak mula. Mula-mula aku rasa seronok sangat bila dengan kawan-kawan tinggal di rumah sewa. Masak sama-sama. Pergi pasar sama-sama. Jemaah solat pun bersama. Tapi sejak dua menjak ini aku rasa aku seperti seorang munafik yang hidup dalam dunia hipokrit.

Aku pun tak tahu kenapa aku boleh berfikir sampai tahap ini. Mungkin aku sudah penat dengan apa yang terjadi. Mungkin juga sebelum ini aku tidak mengenali diri mereka masing-masing, atau aku sendiri yang bermasalah? Aku masih mencari punca kenapa aku merasa aku seorang munafik.
Teringat hadis Rasulullah s.a.w  yang bererti:

            "Tanda-tanda orang munafik ada tiga macam iaitu :
1. apabila ia berbicara berdusta
2. apa bila berjanji ingkar dan
3. apabila dipercaya khianat." (HR. Bukhari dan Muslim dari abu hurairah)

Bila teringat hadis tersebut, aku mula berfikir panjang, apakah aku hidup dengan penuh kepura-puraan semenjak dua menjak ini ? Bercakap lain, hati aku pula rasa lain. Aku tak pernah rasa apa yang aku rasa kini. Suatu perasaan yang marah dalam hati, tapi mulut terkunci sepi. Rasa ingin memaki, tetapi aku memuji keji.

Ya tuhan, aku lalui ini buat aku rasa betapa hina aku ini. Hati aku hitam dan semakin kelam. Aku rasa apa yang aku buat sudah tidak ikhlas malah terpaksa. Aku tipu hati aku ya Allah. Aku buat sesuatu seolah-olah aku ikhlas, kadang-kala aku berharap agar aku dibalas.

Lihatlah betapa mulut aku mengekspresikan bukan isi hati sebenar aku. Isi hati  dituntun untuk menjadi munafik ibarat seorang penipu dan kaki ampu. Langkah dan tindak tanduk bagai pelakon handalan tanpa rasa segan. Terus berterus terang atau diam terus menjadi persoalan.

Kau nak tahu, apa yang terjadi pada aku?

Aku sebenarnya marah, marah dengan mereka yang banyak kerenah. Aku marah dengan mereka yang tidak reti nak jaga amanah. Aku marah dengan mereka yang bila mana aku bertanya padanya dia buat diam tak endah. Aku terasa marah, tetapi aku tak tahu kat mana aku nak curah. Sesiapa sahaja pasti ada rasa marah. Cuma yang membezakannya ialah bagaimana aku, kau dan mereka tangani serta hadapi kemarahan yang penuh amarah itu. Aku berpura-pura penuh hipokrit malah terasa munafik seperti tidak berlaku apa-apa dan berlagak seperti menerima suatu perkara itu dengan tenang. Namun hakikat, aku rasa nak tendang, dalam hati penuh geram.

Apakah aku seorang munafik?

MasyaAllah, ternyata aku seorang munafik. Munafik pada mereka apatah lagi pada Sang Pencipta. Betapa banyak manusia yang menilai aku seorang yang baik, namun itu sama sekali tidak mengurangi teriakan batinku yang memaki diri aku sendiri kerana aku sebenarnya adalah seorang hamba yang munafik. Munafik ibarat talam dua muka. Di depan suka di belakang aku bermuka-muka.

Ya Allah.

Ampunilah aku hamba yang bersalah malah lemah. Aku sakit, sakit lantaran hati nurani aku yang teriak mengatakan bahwa aku adalah seorang MUNAFIK, yang hanya pandai menunjuk kebaikan diri dengan sejuta kebohongan, kecurangan dan dan topeng demi terlihat sempurna dihadapan insan.

Ampuni aku Ya Tuhan. 

Friday 27 September 2013

Masih Di Dunia Bukan Syurga


Malam tadi aku tidur lena,
Pagi tadi aku buka mata,
Aku sedari satu hakikat,
Aku masih di dunia bukan di syurga,
Maka belum selesai segala kerja,
Arahan pemerintah alam semesta.

Hidup sebagai hamba,
Cukup hanya untuk yang Esa,
Kalau aku hidup kerana mereka manusia,
Buat aku rasa gila,
Tertekan penuh kecewa.

Malam tadi aku tidur lena,
Pagi tadi aku buka mata,
Baru aku sedar aku perlu cari pahala,
Bukan terus tanam dan membaja dosa,
Aku juga ingin jadi seperti mereka,
Orang-orang yang masuk ke syurga,
Bukan mereka yang tergolong dalam neraka.

Aku harus sedar aku masih di dunia bukan di Syurga,
Aku mesti cari pahala..pahala..pahala…
Buat bekalan di sana.

#salam jumaat semua.

Monday 23 September 2013

#Cukuplah



Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai.
Allah. :’)

Thursday 4 July 2013

Tuntutan Filipina Terhadap Borneo Utara



1.0       PENDAHULUAN

Isu pencerobohan Tentera Sulu di Sabah sejak 9 Februari 2013 telah mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pencerobohan yang dilancarkan secara mengejut itu bukan sahaja telah menyebabkan beberapa anggota pasukan keselamatan Malaysia terkorban malah menyebabkan ketakutan kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk Lahad Datu sendiri.

            Pencerobohan di Lahad Datu sebenarnya bermula daripada sejarah tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara yang dikenali sebagai Sabah pada hari ini. Dalam kajian ini sebenarnya adalah untuk memenuhi tugasan yang diberikan di bawah kursus Undang-undang Antarabangsa Perbandingan di bawah seliaan Prof. Mohd Nasran. Kajian mengenai tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara ini adalah penting bagi memberikan penjelasan sebenar punca rentetan peristiwa pertumpahan darah yang berlaku di Lahad Datu baru-baru ini.

            Secara umumnya, kajian ini akan menceritakan perjalanan dan rentetan sejarah, geografi, politik dan undang-undang tentang isu tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara. Dalam pada itu, beberapa persoalan penting akan cuba dikupas dalam kajian ini, antaranya persoalan-persoalan seperti apakah yang dituntut? Mengapa Filipina benar-benar mahukan Borneo Utara? Apakah alasan Filipina menuntut Borneo Utara? Bagaimana cara Filipina mahu mendapatkannya ? Apakah akibat terhadap tuntutan Filipina? Serta apakah kesan yang bakal berlaku hasil daripada tuntutan Filipina?


2.0       SEJARAH PERTIKAIAN YANG WUJUD

Sabah meyertai Malaysia pada 16 Mei 1963 atas pilihan penduduk-penduduknya yang diperakui oleh Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sunggupun demikian, kemasukan Sabah ke dalam Malaysia menimbulkan rasa tidak puas hati kerana Filipina masih menganggap Sabah adalah sebahagian dari wilayahnya. Dalam pada masa yang sama waris Kesultanan Sulu juga menuntut Sabah. Pada awal 1993 dan 1994, Sultan Esmail Kiram, salah seorang daripada waris Kesultanan Sulu, telah menuntut kerajaan Malaysia menyerahkan balik Sabah kepadanya atau membayar pampasan ganti rugi sebanyak US$10 bilion, dan sekiranya tuntutan beliau tidak dipenuhi maka beliau akan mengisytiharkan jihad ke atas Malaysia[1].  

Isu penentangan daripada Filipina dan tuntutan waris Kesultanan Sulu bukanlah isu atau cerita baru. Isu tuntutan ini telah bermula dan berlarutan sejak dari zaman kolonial lagi. Asal usul pertikaian ini berpunca daripada perjanjian yang dimetrai antara Sultan Jamal ul-Azam, Sultan Sulu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent pada 22 Januari 1878 berhubung dengan wilayah Borneo Utara.

Berdasarkan perjanjian yang dibuat, wilayah berkenaan telah diserahkan ataupun dipajak untuk selama-lamanya dengan bayaran tahunan sebanyak $5,000. Pada tahun 1881, Syarikat Berpiagam British Borneo Utara telah mengambil alih konsesi tersebut dan mula mentadbirkannya. Mereka juga mengambil alih tanggungjawab untuk membayar bayaran tahunan kepada Sultan Sulu dan warisnya yang sah. Penyusunan pentadbiran ini tidak terjejas, walaupun kemudiannya wilayah Borneo Utara diletak di bawah perlindungan British pada tahun 1888. Ketika Perang Dunia Kedua wilayah Borneo Utara telah ditakluk oleh negara Jepun dan telah mengalami banyak kemusnahan. Pada tahun 1946, Syarikat Berpiagam telah menyerahkan segala haknya kepada kerajaan British. Dengan itu Borneo Utara telah menjadi tanah jajahannya sehinggalah wilayah itu menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963[2].

Pada tahun 1920-an Sultan Sulu pernah menuntut supaya Borneo Utara dikembalikan kepadanya atas alasan bahawa pemberian tahun 1878 hanya berupa 'pajakan' dan bukan 'serahan'. Juga dipercayai bahawa 'pajakan' hanya untuk tempoh lima puluh tahun sahaja. Tuntutan itu telah ditolak oleh kerajaan British dan juga Syarikat Berpiagam sebagai tidak berasas. Kerajaan British bertekad dengan kepercayaan bahawa pemberian tahun 1878 adalah berupa “pajakan yang berkekalan” (in perpetuity)[3]. Pada tahun 1936, Kesultanan Sulu telah dimansuhkan oleh kerajaan Filipina.

Selepas Perang Dunia Kedua, tuntutan ke atas Borneo Utara muncul kembali. Peluang untuk menuntut Borneo Utara adalah cerah apabila Filipina mencapai kemerdekaan pada tahun 1946. Kebetulan pula ketika itu kerajaan Filipina sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan British bagi menuntut kembali beberapa buah pulau (kepulauan Turtle) yang telah dipajak oleh Filipina pada tahun 1930. Di samping itu, waris Kesultanan Sulu juga percaya bahawa Syarikat Berpiagam telah melanggar Surat Pemberian tahun 1878 yang telah gagal membayar “bayaran serahan” kepada waris Kesultanan Sulu selama tempoh pendudukan Jepun iaitu dari tahun 1941 hingga 1945. Mengikut Surat Pemberian 1878, sekiranya pihak Overbeck dan Dent atau wakilnya gagal membayar bayaran serahan selama tiga tahun berturut-turut, maka penyerahan wilayah itu akan terbatal dengan sendirinya [4]. Dakwaan itu bagaimanapun tidak tepat. Ini kerana pihak Syarikat telah memasukkan bayaran serahan itu ke dalam akaun bank waris Kesultanan Sulu di London setiap tahun seperti yang telah persetujui. Kerajaan Filipina juga tidak bersimpati dengan tuntutan waris Kesultanan Sulu, walaupun beberapa orang anggota Senat menyokongnya. Usaha waris Kesultanan Sulu untuk menyelesaikan kes tuntutan dengan menuntut bayaran secara 'lumpsum' juga tidak mendapat layanan kerajaan British.

Perlantikan Diosdado Macapagal sebagai Presiden Filipina pada Januari 1961 dan pengumuman mengenai cadangan pembentukan gagasan Malaysia yang termasuk Borneo Utara oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada Mei 1961 telah membangkitkan semula isu tuntutan ke atas Borneo Utara. Macapagal pernah mengetuai Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina yang bertanggungjawab dalam merundingkan dengan kerajaan British untuk menuntut kembali kepulauan Penyu pada tahun 1946 hingga 1947. Beliau juga adalah salah seorang ahli Senat yang menyokong waris Kesultanan Sulu untuk menuntut Borneo Utara pada tahun-tahun 1950-an.

Terpengaruh dengan hasutan waris Kesultanan Sulu, ahli-ahli Senat lain dan tekanan daripada akhbar, Macapagal mengemukakan kepada Kerajaan British pada 22 Jun 1962 aide-memoire mempersoalkan kesahihan hak milik British ke atas Borneo Utara. Dalam usaha untuk memaksa kerajaan British akur kepada tuntutannya, Macapagal telah membawa kes tuntutan itu ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan Oktober dan November 1963. Macapagal juga mula berbaik dengan Soekarno dan Azahari (pemimpin Parti Rakyat Brunei) untuk menentang pembentukan Malaysia.

Kerajaan British tidak ada pilihan lain kecuali bersetuju untuk mengadakan rundingan. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 28 Disember 1962, kerajaan British menegaskan bahawa tujuan rundingan itu diadakan adalah untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan bersama. Bagaimanapun, Macapagal mensabotaj kenyataan itu dengan mengatakan bahawa rundingan itu diadakan untuk membincangkan soal Borneo Utara. Dengan itu tidaklah hairan, rundingan di London pada bulan Januari 1963 itu gagal mencapai matlamatnya. Macapagal mengugut untuk membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Pada akhir Julai 1963, Tunku Abdul Rahman, Presiden Soekarno dan Macapagal telah mengadakan Sidang Kemuncak di Manila untuk cuba menyelesaikan pertikaian tentang pembentukan Malaysia dan juga kes Borneo Utara. Kerajaan Filipina dan Indonesia bersetuju untuk menyokong pembentukan Malaysia sekiranya gagasan itu terbukti mendapat sokongan daripada penduduk-penduduk yang terbabit dan disahkan oleh Setiausaha PBB. Berhubung dengan Borneo Utara, kerajaan Filipina menggantung persetujuannya terhadap kemasukan Borneo ke dalam Persekutuan Malaysia sehingga kes tuntutannya selesai.

Pada 9 Julai 1963, persetujuan telah tercapai antara perwakilan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak tentang penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Persetujuan itu telah hampir-hampir menggagalkan Sidang Kemuncak di Manila. Walau bagaimanapun, Sidang Kemuncak diadakan juga. Di akhir persidangan, beberapa keputusan telah dibuat. Antara yang terpenting ialah perlantikan misi PBB untuk meninjau pendapat penduduk terhadap Gagasan Malaysia di wilayah Borneo dan menubuhkan MAPHILINDO. Oleh kerana misi PBB tidak dapat menyiapkan laporannya sebelum 31 Ogos 1963, kerajaan British dan Tanah Melayu telah mengumumkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Keputusan itu telah mencetuskan bantahan daripada Filipina dan Indonesia, walaupun laporan PBB mengesahkan bahawa majoriti penduduk di Borneo Utara menerima kemasukan wilayah mereka ke dalam Persekutuan Malaysia. Seperti dirancangkan, Persekutuan Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September 1963 dengan Borneo Utara atau Sabah sebagai sebahagian daripada komponennya. Indonesia dan Filipina bukan sahaja tidak mengiktiraf tetapi memutuskan hubungan diplomatik dengan Persekutuan baru itu. Bagaimanapun, ugutan Kerajaan Filipina untuk membawa kes Borneo Utara atau Sabah ke Mahkamah Antarabangsa, tidak dilaksanakan[5].

Walaupun hubungan Malaysia dengan Filipina telah pulih, tetapi isu tuntutan ke atas Sabah masih menghantui hubungan kedua-dua buah negara. Presiden Corazon Aquino cuba mempengaruhi Dewan Kongres supaya membatalkan tuntutan itu, tetapi tidak berjaya. Demi kestabilan politik rantau ASEAN, adalah diharapkan Filipina akan sedar betapa pentingnya tuntutannya ke atas Sabah itu digugurkan.


3.0       PENGLIBATAN PIHAK DALAM PERTIKAIAN

Berdasarkan kepada kajian sejarah, sewaktu Borneo Utara menjadi tanah jajahan british iaitu pada 22 Jun 1962, Filipina telah mengemukakan tuntutannya kepada kerajaan United Kingdom berasaskan kepada pernyataan:

“...hak kedaulatan wilayah itu masih terletak kepda Kesultanan Sulu. Pendudukan awal Messrs. Baron de Overbeck dan Alfred Dent dan seterusnya oleh pihak Syarikat Borneo Utara British di wilayah tersebut adalah merupakan pendudukan pajakan atau hanya sebagai seorang pentadbir, bukan seorang tuan punya mahupun sebagai pemerintah” .
Maka wilayah yang dikatakan kerajaan United Kingdom memperolehinya dan diganti pula oleh Syarikat Borneo Utara British hanyalah sebagai pemegang pajakan atau pentadbir sahaja dan bukanlah sebagai tuan empunya atau pemerintah.

            Filipina mendakwa pada tahun 1957, Sultan Esmail Kiram telah membuat proklamasi membatalkan pajakan yang diberikan kepada Baron de Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1878. Oleh hal yang demikian, proklamasi tersebut telah memberikan hak serta kuasa ke atas Borneo Utara kepada Filipina sebagai pengganti demi kepentingan Kesultanan Sulu.

            Sebelum daripada ini, pertikaian untuk mendapatkan Borneo Utara ini adalah di antara Filipina dengan United Kingdom. Perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian mengenai tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara pernah diadakan di London sebelum kewujudan malaysia. Tetapi telah menemui kegagalan. Mesyuarat antara United Kingdom dan Filipina telah berlangsung dari 24 Januari sehingga 1 Februari 1963. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan isu tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara.

            Selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, tuntutan Filipina ke atas Borneo bukan lagi terhadap United Kingdom tetapi terhadap Malaysia. Hal ini adalah kerana Malaysia telah mewarisi kedaulatan United Kingdom ke atas Borneo Utara sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perkara v Perjanjian Malaysia yang bertarikh 9 Julai 1963 memperuntukan bahawa kerajaan United Kingdom hendaklah menyerahkan menerusi Akta Parlimen, akan kedaulatan, bidang kuasa terhadap Borneo Utara dan negeri anggota yang lain dan meletakkan kedaulatan dan bidang kuasa ini kepada kepada Persekutuan Malaysia, maka perebutan tersebut kembali berlaku di atas nama Malaysia dan Filipina.


4.0       PERSOALAN ISU KEDAULATAN BORNEO UTARA

Isu yang wujud adalah berdasarkan persoalan yang timbul sama ada Filipina atau Malaysia yang mempunyai kedaulatan ke atas Borneo Utara. Dalam pertikaian ini masing-masing mendakwa bahawa mereka mempunyai kedaulatan terhadap wilayah tersebut. Selanjutnya kajian ini akan melihat kepada bukti dan hujah yang dikernukakan oleh pihak Filipina dan Malaysia sendiri berkenaan kedaulatan terhadap Borneo Utara.

            Filipina pada asalnya adalah merupakan kawasan jajahan takluk Sepanyol dan seterusnya Amerika Syarikat. Penjajahan dan penaklukan Amerika Syarikat ke atas Filipina berakhir selepas memberikan kemerdekaan pada 4 Julai 1946, maka berdasarkan undang-undang, semua kedaulataan dan bidang kuasa Amerika Syarikat diletakkan di bawah Filipina. Persoalan yang timbul di sini adakah Borneo Utara adalah hak milik mutlak British? Hal ini kerana penyerahan Borneo Utara oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul Azam kepada Overbeck dan Dent pada tahun 1978 adalah satu pajakan, kemudian Overbeck dan Dent hanya menyerahkan pajakan itu kepada British. Filipina dan waris Kesultanan Sulu mendakwa bahawa tiada unsur penyerahan wilayah Borneo Utara itu kepada British. Maka selepas melalui satu tempoh, British mesti menyerahkan kembali Borneo Utara kepada waris Kesultanan Sulu. Ini disebabkan Sulu mengikut sejarahnya merupakan tanah jajahan Sepanyol dan Amerika, maka setelah Filipina mengambil hak kedaulatan terhadap Sulu, maka Filipina berhak menuntut kembali Borneo Utara atas alasan bahawa wilayah borneo utara adalah hak milik mutlak waris kesultanan Sulu, dan bukannya British.

            Bagi Malaysia pula, kedaulatan terhadap wilayah Borneo Utara didakwa telah diberikan melalui Pemberian dan Tauliah 1877-1878 kepada Baron de Overbeck dan Alfred Dent dan kemudiannya kerajaan Inggeris yang pada ketika itu menjajah dan menguasai Tanah Melayu telah mengambil alih wilayah tersebut daripada Baron de Overbeck dan Alfred Dent melalui satu perjanjian di antara kedua-dua pihak pada tarikh 26 Jun 1946 dan pada 15 Julai 1946 wilayah yang dikuasai oleh British itu telah dinamakan sebagai Tanah Jajahan Borneo Utara.

            Melalui hujahan-hujahan dan butiran yang telah dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak, Filipina telah mencabar kedaulatan United Kingdom di atas tafsiran syarat-syarat Pemberian dan Tauliah daripada Kesultanan Sulu dan Brunei. Filipina turut mencabar tafsiran syarat Pemberian dan Penyerahan Wilayah 1883-1946. Jika merujuk kepada pemberian daripada Sultan Mumin Brunei kepada Overbeck dan Alfred Dent pada 29 Disember 1877 adalah seperti berikut :

                    i.  ...semua wilayah dan tanah di Pantai Barat Borneo yang terdiri daripada Teluk Gaya dari Gaya Head ke Loutot Point termasuk Teluk Spangar, Teluk Gaya, Pulau Gaya dan semua pulau yang berdala di kawasan pelabuhan dan dalam lingkungan tiga liga laut dari pantai termasuk daerah dan wilayah Pappar yang bersempadan dengan provinsi Benomi...dengan bayaran sebanyak $4000 setahun.

                  ii.  ...semua wilayah dari Sungai Sulaiman di pantai barat laut pulau tersebut yang terdiri daripada dua puluh satu buah daerah dengan Pulau Banguey dan semua pulau lain dalam lingkungan tiga liga laut dari pantai...dengan bayaran sebanyak $6000 setahun.

                iii.  ...semua wilayah yang terdiri daripada daerah Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan, Mumiang dan semua wilayah hingga Sungai Sibuco dengan semua pulau dalam lingkungan tiga liga laut dari pantai.

Menurut Pemberian dan Tauliah 1877-1878 juga, pemberian-pemberian sebagaimana yang telah disebutkan di atas telah diisytiharkan sebagai hak milik Baron de Overbeck dan Alfred Dent, dan akan terus menjadi hak mereka ataupun pewaris serta pengganti mereka selagi mana mereka terus membayar pampasan tahunan kepada siltan mahupun pengganti ataupun pewaris sultan itu. Pampasan tahunan secara tetap adalah sebanyak $2000 setahun.


5.0       TUNTUTAN FILIFINA KE ATAS BORNEO UTARA

Pengumuman Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu di Kelab Wartawan di Singapura pada 27 Mei 1961 mengenai cadangan pembentukan gagasan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara telah menjadi isu yang hangat dan membangkitkan kemarahan waris Sultan Sulu dan Filipina. Pada akhir tahun 1961, tercapai persetujuan antara Harold MacMillan, Perdana Menteri British dengan Tunku Abdul Rahman bagi menubuhkan Gagasan Malaysia pada bulan Ogos 1963.

Dalam pada itu, Senator Macapagal telah menjadikan isu Borneo Utara sebagai bahan kempen pilihanraya presidennya. Dalam kempen-kempennya, beliau berjanji untuk mendapatkan kembali Borneo Utara daripada British. Akhirnya, pilihanraya tersebut telah memberi kemenangan kepadanya. Terikat dengan janji-janji semasa kempennya, Presiden Macapagal mengemukakan tuntutan mengenai Borneo Utara untuk memenuhi janji-janji politiknya.

Reaksi yang sama juga telah ditunjukkan oleh waris Sultan Sulu. Bimbang jika tuntutan mereka terhadap Borneo Utara akan gagal, maka pada 2 Ferbuari 1962, Putri Tarhata Kiram telah mengemukakan kepada Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, melalui peguamnya J.C.Orendain, petisyen merayu kerajaan Filipina menyokong tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Borneo Utara. Mereka berpegang dengan kenyataan bahawa pemberian wilayah tersebut oleh Sultan Sulu kepada Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1878 sebagai pajakan dan bukan serahan, dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1946 hanya memindah pegangan pajakan dan bukan menyerahkan hak kedaulatan kepada kerajaan British. Tambahnya lagi, kedaulatan ke atas Borneo Utara adalah di bawah kerajaan Filipina berasaskan keputusan kehakiman Macaskie.


6.0       MACAPAGAL MENGEMUKAKAN TUNTUTAN RASMI KE ATAS BORNEO UTARA 

Pada 22 Jun 1962, Macapagal telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengumumkan secara rasmi keputusan kerajaan Filipina untuk mengemukakan tuntutan ke atas Borneo Utara. Dengan kenyataan terbuka Macapagal ini, maka bermulalah krisis tuntutan ke atas Borneo Utara secara terbuka antara Filipina dengan Britian.

            Pada 23 Jun 1962, Ketua Setiausaha Jabatan Luar Filipina telah menyerahkan aide-memoire kepada J.A. Pilcher iaitu duta British di Manila di pejabatnya. Semasa menyerahkan aide-memoire itu, Ketua Setiausaha Luar Filipina mengharapkan tuntutan Filipina tidak akan menjejaskan hubungan baik Filipina dan Britain. Pada pandangannya, tuntutan itu lebih merupakan usaha Macapagal untuk memenuhi tuntutan politik dalam negeri menjelang pilihanraya Presiden pada awal tahun 1964.

            Aide-memoire itu memaklumkan bahawa tuntutan itu telah mendapat sokogan daripada Dewan Perwakilan Filipina. Dalam menyokong tuntutan itu, Dewan telah mengambil kira pandangan peguam bagi pihak waris Sultan Sulu yang menuntut wilayah Borneo Utara dan hasrat mereka untuk melihat Borneo Utara menjadi sebahagian daripada wilayah Filipina. Akan tetapi, malangnya, kerajaan Britsh enggan melayan tuntutan tersebut dan menolak untuk mengadakan rundingan untuk mencari penyelesaian. Hal ini telah menyebabkan akhbar-akhbar Filipina mula untuk mengeksploitasi isu tuntutan ini. Kelambatan pihak British menjawab aide-memoire kepada kerajaan Filipina telah memaksa kerajaan Filipina menghantar satu lagi aide-memoire kepada kerajaan British pada 12 September 1962.

            Dalam usaha untuk memaksa kerajaan British mengadakan rundingan dengan Filipina, Setiausaha Luar Filipina Emmaneul Palaez telah membangkitkan persoalan Borneo Utara di Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu pada 27 september 1962. Palaez menyatakan harapannya agar masalah Borneo Utara dapat diselesaikan secara bertolak ansur. Sikap membisu British terhadap aide-memoire pada 12 September 1962 mencetuskan kemarahan Macapagal. Kemarahan itu disemarakkan lagi apabila mengatahui Tanah Melayu mengambil keputusan untuk meneruskan rancangan pembentukan Malaysia serta memperakui hak kedaulatan British terhadap Borneo Utara


7.0       HUJAH MENENTANG ALASAN YANG DIBERIKAN OLEH  FILIPINA[6]

        i.            Isu material

Jika pemberian dan tauliah Sulu boleh ditafsirkan sebagai pajakan, maka pendapat kerajaan Filipina adalah selaras dengan pandangan yang dinyatakan di atas. Tetapi isu yang material bukanlah sama ada pemberian dan tauliah itu pajakan atau penyerahan wilayah. Kerana walau bagaimanapun, perjanjian yang telah dibuat di antara satu persatuan persendirian yang bebas (Overbeck dan Dent), iaitu ejen yang tidak diberikan kuasa oleh negaranya, dengan Sultan Sulu tidak diiktiraf sebagai penyerahan di bawah undang-undang antarabangsa.

      Oleh itu, penyerahan itu tidak akan memberi hak milik ke atas wilayah itu, kepada penerima asal, kecuali faedah, hak dan keistimewaan yang dinyatakan dalam pemberian dan tauliah itu. Apa yang penting adalah sama ada United Kingdom yang merupakan pemerintah de facto ke atas Borneo Utara sebelum pembentukan Malaysia, telah benar-benar memperoleh kedaulatan ke atas wilayah itu dengan cara yang diiktiraf dalam undang-undang anatarabangsa. Dari sudut inilah hak milik British ke atas wilayah itu mesti diteliti.

      ii.            Amalan Undang-Undang Antarabangsa

Tiada prinsip undang-undang antarabangsa yang menghalang ejen sesebuah negara, sama ada seorang rakyat atau sesuatu perbadanan, mendapatkan pengakuan daripadanya sendiri bahawa mana-mana wilayah yang telah diperolehinya adalah untuk negara tersebut. Sebenarnya undang-undang antarabangsa mengiktiraf undang-undang perlembagaan mana-mana negara yang membenarkan negara itu mengambil alih kedaulatan ke atas mana-mana wilayah yang telah diperolehi oleh ejennya yang berkuasa seperti Syarikat Berpiagam dan oleh persatuan bebas individu tak bernegara. Dengan kata lain, undang-undang antarabangsa tidak menghalang mana-mana negara daripada menuntut kedaulatan atau kekuasaan ke atas wilayah yang telah diperolehi oleh ejennya. Sebaliknya undang-undang antarabangsa tidak boleh menghalang sesebuah negara daripada menafikan kedaulatan atau kekuasaan ke atas mana-mana wilayah yang diperoleh oleh ejennya. Oleh itu, jika kerajaan British tidak menafikan melalui meteranya kedaulatan ke atas wilayah yang diperoleh oleh Syarikat Borneo Utara British, tetapi sebaliknya telah mengesahkan pengiktirafan kedaulatan pemerintahannya, maka bolehlah difahami bahawa Piagam Diraja yang diberi kepada persatuan itu merupakan pengakuan bahawa wilayah yang diperolehi adalah untuk kerajaan British. Walau bagaimanapun, tujuan kesultanan itu pada mulanya hanyalah memberikan konsesi wilayah serta hak dan kuasa pemerintah yang diwakilkan sahaja kepada Overbeck dan Dent. Soal kedaulatan British tidak timbul di peringkat awal peralihan itu.

    iii.            Tuntutan Filipina Dari Aspek Keputusan Mahkamah

Kerajaan Filipina juga mengasaskan tuntutannya atas keputusan Ketua Hakim Macaskie dari Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada tahun 1939. Ketua Hakim itu telah menyatakan bahawa ‘pengganti kedaulatan Sultan cukup jelas kerajaan Filipina’. Namun mestilah diingat bahawa keputusan Hakim Macaskie pada tahun 1939 itu sebenarnya hanyalah untuk menyelesaikan kes tuntutan pusaka Jamalul Kiram selepas kemangkatannya pada tahun 1936, dan dengan terang Macaskie mengatakan bahawa:

“…the deed of cession was a complete and irrevocable grant of territory and the right reserved was only to the annual payment, a right which is in nature of movable property…”.

8.0       PENYELESAIAN ISU TUNTUTAN BORNEO

Dalam menyelesaikan sesuatu konflik, ada beberapa cara yang biasanya digunakan, sama ada melalui perundingan, perantaraan dan pembentukan kerjasama serantau. Di samping itu, tuntutan ke mahkamah dan juga tribunal antarabangsa juga termasuk dalam kategori metode penyelesaian masalah. Kesemua itu tergolong dalam metode penyelesaian secara aman. Sekiranya penyelesaian secara aman tidak berhasil, maka undang-undang  antarabangsa member pengecualian dalam penggunaan kekerasan sebagai penyelesaian.

        i.            Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai badan tribunal untuk menyelesaikan masalah pertikaian wilayah Borneo Utara[7].

Filipina sering kali menggesa Malaysia supaya merujuk pertikaian kepada Mahkamah Kehakiman Antarabangsa, sedangkan Malaysia enggan berbuat demikian. Keengganan Malaysia ini berasakan dua sebab iaiatu dari segi politik dan dari segi undang-undang. Jika dilihat dari segi politik, Malaysia bimbang terhadap reaksi sesetengah anasir di Malaysia yang mungkin mentafsirkan persetujuan Malaysai sebagai bukti keraguannya terhadap kedaulatan dan taraf kemerdekaan negeri Sabah dalam Persekutuan Malaysia. Dari segi undang-undang pula, keengganan Malaysia untuk merujuk kepada ICJ ialah semat-mata kerana Malaysia pada waktu itu tidak pernah membuat sebarang pengisytiharan untuk menerima bidangkuasa wajib mahkamah itu dalam semua kes yang dirujukkan kepadanya.


      ii.            Rundingan, perdamaian, timbang tara dan lain-lain penyelesaian yang dipilih sendiri oleh pihak yang terlibat[8].

Keengganan Malaysia untuk merujuk kepada ICJ mungkin kerana Malaysi berpendapat bahawa mahkamah bukanlah satu jentera sahaja untuk meminta bantuan. Persetujuan Manila juga menyatakan untuk menggunakan cara lain untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Melaui proses penentuan sendiri yang diadakan di bawah anjuran setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, rakyat Sabah telah member kepada mereka sendiri satu perlembagaan dan kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia. Tidaklah diragui bahawa Filipina akan terus mendesak supaya Malaysia menggunakan jentera penyelesaian yang diperuntukkan dalam Persetujuan Manila.

9.0       KESIMPULAN

Pengumuman cadangan Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961 untuk membentuk Persekutuan Malaysia telah mencetuskan bantahan daripada waris Kesultanan Sulu. Dengan sokongan ahli-ahli Dewan Senat dan akhbar, waris Kesultanan Sulu berjaya mempengaruhi kerajaan Filipina yang dipimpin oleh Presiden Macapagal untuk menuntut Borneo Utara.

Waris Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Borneo Utara adalah milik mereka berasaskan Surat Pemberian 1878 yang menyatakannya sebagai pajakan. Pada 22 Jun 1963, Presiden Macapagal telah mengemukakan tuntutan ke atas Borneo Utara secara rasmi kepada kerajaan British. Macapagal meminta kerajaan British mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina bagi menyelesaikan masalah Borneo Utara. Tuntutan itu memeranjatkan kerajaan British memandangkan wilayah itu telah berada di bawah pemerintahannya sejak abad ke-19 lagi dan hak kedaulatannya ke atas wilayah itu telah diakui oleh Sepanyol dan Amerika Syarikat. Pihak British enggan bertolak ansur dengan kerajaan Filipina dalam kes Borneo Utara, walaupun ia bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Filipina pada awal Januari 1963 di London. Bagi kerajaan British, Borneo Utara adalah miliknya. Pemberian 1878 oleh Sultan Sulu adalah penyerahan dan bukan pajakan seperti yang didakwa oleh Filipina dan waris Kesultanan Sulu. Sebelum 1878, sebahagian daripada wilayah Borneo Utara berada di bawah naungan Sultan Brunei dan Sultan Sulu. Syarikat Hindia Timur British (East India Company) sedikit sebanyak mempunyai pengaruh ke atas kawasan itu pada abad ke-18, sama seperti Sepanyol dan Belanda. Pengaruh Sepanyol ke atas wilayah itu berakhir pada tahun 1898, apabila ia ditewaskan oleh Amerika.

Pada tahun 1851 dan 1878 Sultan Sulu pernah mengiktiraf kedaulatan Sepanyol ke atas Sulu, tetapi semenjak abad ke-19 pengaruh British mula mengambil alih tempat Sepanyol. Pada tahun 1877-78, Alfred Dent (warga British) dan Baron de Overbeck (warga Austria) telah memeterai perjanjian secara berasingan dengan Sultan Brunei dan Sultan Sulu mengenai konsesi ke atas Borneo Utara. Perjanjian itu menyebut bahawa pemberian wilayah Borneo Utara adalah 'pajakan yang berkekalan'. Sultan Sulu, Alfred Dent dan Overbeck bersetuju untuk membayar sebanyak $5,000 setiap tahun sebagai bayaran serahan. Overbeck kemudiannya menjual haknya kepada Alfred Dent.

Pada tahun 1881 kesemua hak itu telah diserahkan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Syarikat ini telah memerintah Borneo Utara sehingga 1946. Pada tahun 1885, Sepanyol telah menggugurkan hak kedaulatannya terhadap Borneo Utara serta mengiktirafnya sebagai naungan Britain. Pada tahun 1888 Syarikat Berpiagam telah memeterai Perjanjian Perlindungan dengan Britain. Semenjak itu Britain menganggap Borneo Utara sebagai negeri di bawah perlindungannya (Protected State). Pada tahun 1898, Amerika Syarikat mengambil alih Filipina dari Sepanyol dan Sultan Sulu mengiktiraf kedaulatan Amerika ke atasnya.

Kekuasaan Sultan Sulu beransur-ansur dikurangkan oleh pihak berkuasa Amerika. Pada tahun 1936 Kesultanan Sulu telah dihapuskan oleh kerajaan Quezon. Pada awal abad ke-20 Borneo Utara lebih dianggap oleh kerajaan British sebagai tanah jajahan daripada negeri naungan British. Pada tahun 1907 Britain memeterai perjanjian dengan Amerika Syarikat tentang pajakan ke atas pulau-pulau yang terletak di luar wilayah Borneo Utara. Pada tahun 1930 Britain dan Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian bagi menetapkan sempadan antara Borneo Utara dengan Filipina. Dalam perjanjian itu, Borneo Utara telah disebut sebagai berada di bawah perlindungan British. Beberapa buah pulau yang terletak di utara sempadan itu telah diletak di bawah pentadbiran British, tertakluk kepada setahun notis oleh Amerika Syarikat kiranya ia berhasrat untuk mendapatkan kembali. Pada tahun 1947, pulaupulau berkenaan telah diambil alih oleh Filipina sebagai mewarisi dari Amerika Syarikat.

Pada 20 Jun 1946, Syarikat Berpiagam telah menyerahkan haknya ke atas Borneo Utara kepada kerajaan British. Seminggu kemudian Filipina memperolehi kemerdekaannya, iaitu selepas sepuluh hari penyerahan Borneo Utara kepada kerajaan British diumumkan melalui 'Order-in-Council'. Beberapa orang waris Kesultanan Sulu telah mengemukakan bantahan terhadap penyerahan itu. Bantahan itu tidak berkesan bukan sahaja kerana tidak dilayan oleh British, tetapi juga gagal untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan Filipina sendiri. Kerajaan Filipina hanya memperjuangkan hak waris Kesultanan Sulu apabila ia mengemukakan aide-memoire kepada kerajaan British pada bulan Jun 1962. Hak kedaulatan British ke atas Borneo Utara adalah jelas dan dapat dibuktikan daripada peristiwa berikut:

1. Pemberian 1877 dan 1878, serta penyerahan hak milik oleh Overbeck kepada Alfred Dent pada tahun 1880, dan beberapa perjanjian yang dimeteraikan oleh Syarikat Berpiagam dengan Sultan Sulu pada tahun 1903.

2. Pemberian Piagam oleh kerajaan British kepada Syarikat pada tahun 1881 telah dibuat bersandarkan pemberian 1877, 1878 dan 1903 yang memperakui hak  kedaulatan  Syarikat  Berpiagam ke atas Borneo.

3. Protokol Madrid antara Britain, Jerman dan Sepanyol pada tahun 1885 yang memperakui hak British ke atas Borneo Utara.

4. Perjanjian Perlindungan dengan kerajaan British pada tahun 1888.

5. Perjanjian dan Konvensyen Sempadan 1891 dan 1915 dengan Belanda dan Konvensyen Sempadan (1930) dengan Amerika Syarikat, telah diakui dan disebut dalam Perlembagaan Filipina pada tahun 1946 dan 1947.
                 
6. Pengambilan Borneo Utara pada 26 Jun 1946 oleh Britain melalui Perintahan Penyerahan Borneo Utara pada 10 Julai 1946 yang membolehkan kerajaan British menguasai Borneo Utara sebagai sebahagian daripada kawasannya. Ringkasnya kerajaan British memperolehi Borneo Utara berdasarkan prinsip pengambilan wilayah dan proses pengukuhan hak milik sebagai memperolehi wilayah. Prinsip ini telah diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa. Kerajaan British pula kemudiannya menyerahkan Borneo Utara kepada Persekutuan Malaysia di bawah perjanjian Penyerahan pada 12 Julai 1963. Hak milik Malaysia pula telah diperkukuhkan lagi dengan prinsip penentuan nasib yang disokong oleh Setiausaha Agung Bangsa- Bangsa Bersatu. Keadaan ini sama sekali berbeza dengan Filipina yang tidak mempunyai suatu asas yang kukuh untuk menuntut hak milik ke atas Borneo Utara. Resolusi Macapagal 1950 dan Resolusi Ramos 1962, surat waris Kesultanan Sulu 1962, aide-memoire bulan September 1962, dan keputusan Hakim Macaskie, Mahkamah Tinggi Borneo yang menjadi asas tuntutan Filipina bukanlah surat ikatan hak milik tetapi adalah semata-mata pengisytiharan tujuan. Tambahan pula tidak ada perjanjian penyerahan yang pernah dibuat antara waris Kesultanan Sulu dengan kerajaan Filipina. Oleh hal demikian adalah jelas bahawa Britain mempunyai hak milik yang lebih baik daripada Republik Filipina ke atas Borneo Utara.



10.0     RUJUKAN

M.O Ariff, 1970, The Philippines’ Claim to Sabah: Its Historical, Legal and Political Implications.  Kuala Lumpur : Oxford University Press.

Nik Anuar Nik Mahmud. 2001. Tuntutan Filipina ke Atas Borneo Utara. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

*ini adalah assignment untuk International Law 
*disediakan oleh aku dan kawan aku Saiful Amal 
Monday 20 May 2013

Pemberian Tanah Kepada Warganegara Asing dan Syarikat Asing menurut Undang-undang Malaysia Dan Perbandingan Dengan Undang-undang Islam





1.1       PENGENALAN

Sebagai pemilik tanah yang mutlak kepada semua tanah kerajaan dalam wilayahnya, pihak kerajaan iaitu pemerintah berhak untuk melupuskan tanah kepada sesiapa sahaja yang ia fikirkan patut. Menurut Kanun Tanah Negara atau KTN, Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk melupuskan tanah kepada sesiapa sahaja yang ia fikirkan wajar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Hal ini juga adalah sama dalam undang-undang Islam.

            Dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan tentang dasar pemberian milik tanah kepada warganegara asing di malaysia dan perbandingannya dengan Undang-undang Tanah Islam.


2.1       PEMBERIAN MILIK TANAH

Sebagai pemilik mutlak kepada semua tanah kerajaan dalam wilayahnya, Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk melupuskan tanah kepada sesiapa sahaja yang difikirkan patut olehnya, tertakluk pada pembayaran cukai tahunan, premium dan fee beserta syarat-syarat lain yang ditetapkan olehnya. Kanun Tanah Negara tidak terikat pada prinsip Tahdid sepertimana yang terdapat dalam Undang-undang Tanah Islam, dan oleh yang demikian apa jua had atau sekatan yang wujud mengenai kuasa pelupusan adalah kehendaknya sendiri, berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan ekonomi, faktor alam sekitar dan kepentingan politik.

            Kuasa pelupusan yang terdapat pada Pihak Berkuasa Negeri terkandung dalam seksyen 42 Kanun Tanah Negara, iaitu seperti berikut:

a. Untuk memberi milik tanah kerajaan untuk suatu jangka masa tidak melebihi 99 tahun atau untuk selama-lamanya berdasarkan peruntukan seksyen 76 Kanun Tanah Negara;
b.      Untuk merizabkan tanah kerajaan, dan memberi pajakan tanah rizab, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 2 Bahagian Empat;

c.  Untuk membenarkan mengeluar dan mengambil dari mana-mana tanah, selain dari hutan simpanan, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 3 Bahagian Empat;

d.      Untuk membenarkan penggunaan ruang udara atas tanah kerajaan atau tanah rizab selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 4 Bahagian Empat dengan syarat bahawa ruang udara tersebut hendaklah dalam lingkungan rangkai apa-apa jenis yang dibina di atasnya.

Dalam menjalankan kuasa pelupusan di bawah seksyen 42 Kanun Tanah Negara, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai budi bicara membuat pelupusan kepada orang dan perbandaran sepertimana dalam seksyen 43 Kanun Tanah Negara seperti berikut:

a.  Orang-orang biasa selain daripada remaja di bawah umur;

b.    Perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan mereka untuk memegang tanah;

c.       Raja-raja pemerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular 1957;

d.     Badan-badan yang diberi kuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.[1]

Dalam pada itu, terdapat juga sekatan dan had ke atas kuasa yang ada pada Pihak Bekuasa Negeri, iaitu dari segi kuasa meluluskan mana-mana tanah untuk maksud perlombongan, atau pengeluaran dan pemindahan bahan batu-batan bagi mendapatkan logam ataupun galian. Untuk menjalankan kuasa sedemikian rupa, Pihak Berkuasa Negeri perlu merujuk kepada undang-undang lain yang berkaitan dengannya. Akhir sekali kesan daripada pindaan undang-undang yang dikuatkuasakan pada 25 Mac 1985, Pihak Berkuasa Negeri tidak lagi boleh memberikan milik tanah pertanian yang kurang daripada dua-perlima hektar kepada lebih daripada seorang atau sebuat perbadanan, melainkan di bawah keadaan tertentu. [2]



3.1       PERUNTUKAN PEMILIKAN TANAH OLEH WARGANEGARA ASING DAN SYARIKAT ASING MENURUT KANUN TANAH NEGARA.

Menurut Kanun Tanah Negara rang yang boleh menerima pemilikan tanah atau melakukan apa-apa urusniaga terhadap tanah adalah mereka yang telah dinyatakan dalam seksyen 43 Kanun Tanah Negara. Seksyen 43 ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan atau tertakluk dalam Bahagian 33(A)  yang melibatkan seksyen 433A, seksyen 433B, seksyen 433C, seksyen 433D, seksyen 433E, seksyen 433E, seksyen 433F, seksyen 433G, dan seksyen 433H.


4.1       DASAR PEMBERIAN TANAH KEPADA WARGANEGARA DAN SYARIKAT ASING MENURUT KANUN TANAH NEGARA.

Sepertimana yang telah dinyatakan pada awal perbincangan dalam penulisan ini, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa pelupusan tanah kepada sesiapa sahaja yang dinyatakan dalam seksyen 43 pada tahun 1984, akan tetapi selepas pindaan dilakukan terhadap seksyen 43 pada tahun 1984, kuasa pelupusan yang ada pada Pihak Berkuasa Negeri adalah tertakluk kepada peruntukan yang termaktub dalam Bahagian 33(A).

            Ini bermakna bahawa Pihak Berkuasa Negeri sudah tidak bebas lagi dalam memberi milik semua jenis atau kategori tanah kepada warganegara asing mahupun syarikat-syarikat asing. Melalui pindaan yang dibuat ini, mereka sudah tidak boleh lagi memiliki tanah di negara ini, terutamanya tanah-tanah yang melibatkan tanah pertanian. Namun begitu, tanah-tanah perindustrian adalah dibenarkan. Manakala tanah kediaman dan perniagaan pula adalah adalah dibenarkan dengan syarat mendapat kebanaran daripada Pihak Berkuasa Negeri.[3]

            Bahagian 33(A) adalah merupakan bahagian baru dalam Kanun Tanah Negara. Bahagian ini mengemukakan seksyen-seksyen baru iaitu 433A, 433B, 433C, 433D, 433E, 433F, 433G dan 433H[4]; dimana seksyen-seksyen bahagian ini adalah merupakan peruntukan-peruntukan berkaitan sekatan-sekatan terhadap pemerolehan tanah oleh warganegara asing dan juga syarikat asing.

            Seksyen 433A adalah menerangkan maksud “syarikat asing”. Syarikat asing menurut seksyen 4 akta Syarikat 1965 adalah bererti satu syarikat perbadanan, pertubuhan, persatuan, atau lain-lain badan yang ditubuhkan di luar Malaysia; atau bukan satu perbadanan, pertubuhan, persatuan itu, atau lain-lain badan yang di bawah atau boleh memegang harta atas nama setiausaha atau pegawai lain dari badan atau persatuan itu dan syarikat yang tidak mempunyai ibu pejabat di Malaysia.[5]

            Daripada tafsiran tersebut adalah dapat diketahui dengan jelas bahawa syarikat asing adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di luar daripada negara Malaysia, atau ia mempunyai ibu pejabat bukan dalam negara Malaysia, atau ia mempunyai cawangan-cawangan di Malaysia; maka ia bolehlah dianggap sebagai syarikat asing.

            Manakala menurut seksyen 433B, bahawa warganegara asing atau syarikat asing adalah boleh dan dibenarkan memiliki tanah melalui pelupusan atau urus niaga ke atas tanah ke atas tanah beri milik dengan syarat bahawa pemerolehan tanah kategori kediaman dan kategori perniagaan oleh orang-orang atau badan-badan tersebut haruslah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Namun begitu, bagi tanah kategori perindustrian, pemerolehan tanah ini oleh warganegara asing ataupun syarikat asing, tidak disyaratkan mendapat persetujuan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Bagi kategori tanah pertanian, Pihak Berkuasa Negeri adalah tidak boleh memberi milik tanah kategori ini kepada warganegara asing dan syarikat asing.[6]

            Secara mudah dan ringkasnya dapatlah dilihat peruntukan seksyen 433B  adalah seperti yang berikut:

1.   Warganegara asing atau syarikat asing boleh memiliki tanah kategori perusahaan tanpa mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

2.     Warganegara asing atau syarikat asing boleh memiliki tanah kategori kediaman atau kategori perniagaan dengan syarat mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri.

3.     Warganegara asing atau syarikat asing tidak boleh sekali-kali memiliki tanah yang mempunyai kategori pertanian atau tanah yang mempunyai tujuan untuk pertanian.

Pindaan yang dibuat pada tahun 1984 juga telah memperuntukan bahawa sebarang pemerolehan tanah oleh warganegara asing dan syarikat asing yang melanggar Bahagian 33(A) ini adalah tidak sah dan terbatal.[7] Walaupun begitu, sekatan-sekatan terhadap warganegara asing atau syarikat asing di atas itu tidak terpakai bagi pemerolehan tanah yang mereka telah sedia ada.[8] Bahagian ini juga adalah tidak terpakai terhadap orang-orang ataupun badan-badan yang telah diberikan kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomat dan Konsul 1957 atau mana-mana badan yang diberikan kuasa memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Peruntukan-peruntukan dalam Bahagian 33(A) ini sebenarnya bukan bertujuan untuk menindas atau menyekat warganegara asing, syarikat-syarikat asing  ataupun badan-badan asing, akan tetapi ia sebenarnya adalah bertujuan untuk mengatur dan mengawal kegiatan di dalam urusan mereka berhubung dengan hal ehwal tanah, demi menjaga kebajikan negara.

Apa yang boleh disimpulkan disini untuk dasar pemberian tanah kepada warganegara asing dan syarikat asing berdasarkan Kanun Tanah Negara adalah bahawa Bahagian 33(A) Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1984, ia memberi kesan kepada warganegara asing dan syarikat asing berhubung hal ehwal tanah, seperti berikut:

      1. Warganegara asing dan syarikat asing tidak boleh sama sekali, apabila ia berkuatkuasa pindaan ini, memiliki atau memegang kepentingan atas tanah atau menerima cagaran tanah atau mengambil lelongan tanah atau melalui apa-apa cara sekalipun, tanah yang mempunyai kategori pertanian atau tanay yang mempunyai tujuan untuk pertanian. 

       2.Warganegara asing dan syarikat asing boleh memiliki atau menerima cagaran atau melalui apa jua cara yang dibenarkan untuk memiliki tanah-tanah yang bertujuan untuk kediaman atau perniagaan, dengan syarat mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri.

      3.  Bagi tanah-tanah perusahaan warganegara asing dan syarikat asing, mereka bolehlah memiliki atau menerima cagaran atau melalui apa-apa jua cara yang dibenarkan memiliki tanah-tanah tersebut tanpa perlu untuk mendapatkan kebenaran bertulis dari Pihak Berkuasa Negeri.

Walau bagaimanapun sekatan terhadap warganegara asing dan syarikat asing untuk memiliki tanah di negara ini menerusi pindaah seksyen 43, Kanun Tanah Negara 1965 (Pindaan) 1984 hanya berkuatkuasa selama satu tahun lebih sahaja. Sekatan-sekatan itu akhirnya telah dimansuhkan melalui pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1986. Pindaan itu berkuatkuasa pada 1 Januari 1987.

Dengan berlakunya pindaan pada seksyen 43 pada tahun 1986 itu, bermakna Bahagian 33(A), yang terkandung di dalamnya seksyen 433A, 433B,433C, 433D dan 433E telah dimansuhkan. Akibat pindaan itu, semua orang sama ada warganegara asing ataupun warganegara boleh memiliki tanah di negara ini tanpa apa-apa sekatan.[9]


5.1       DASAR PEMBERIAN TANAH KEPADA WARGANEGARA DAN SYARIKAT ASING MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM.

Dalam undang-undang Islam, pemilikan tanah ini adalah berkaitan dengan proses penaklukan wilayah. Hal ini jika warganegara asing dan syarikat asing memiliki tanah dengan skala yang kecil adalah tidak mengapa, yang menjadi masalah ialah jika sekiranya warganegara asing dan syarikat asing memiliki tanah dengan skala yang besar, ia seolah-olah menunjukkan berlakunya penaklukan di situ. Oleh sebab itu undang-undang Islam telah menetapkan bahawa pemerintah atau kerajaan hendaklah mengawal supaya pemilikan tanah oleh warganegara asing dan syarikat asing tidak berlaku secara berleluasa.

            Perkembangan awal undang-undang tanah Islam ini adalah berasal daripada undang-undang penaklukan. Apabila kerajaan Islam menakluki sesebuah kawasan atau negara, maka bermulalah di situ persoalan berkaitan Ghanimah, al-fayy, dan sebagainya yang terletak di negara tersebut. Pada permulaan pemberian milik tanah, hasil daripada penaklukan, tanah-tanah itu dibahagikan kepada tentera-tentera Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan khulafa ar-rasyidin. Semakin banyak tanah semakin luas kuasa yang dimiliki.

            Hal ini adalah sama dengan konteks undang-undang sivil pada masa kini. Misalnya di India, kebanyakan tanah hampir 90% adalah dimiliki oleh land lord atau tuan tanah. Kesannya terutama dari segi politik, apabila mereka memiliki tanah yang banyak, maka kuasa politik tuan-tuan tanah semakin tinggi dan kuat. Jadi mereka dapat menentukan siapa yang layak mentadbir negara dan sebagainya.

            Sebab itu dalam Islam, agihan kekayaan terutamanya pemilikan tanah ini dikawal oleh kerajaan dan juga pemerintah negara. Atas sebab itu dalam undang-undang Islam mempunyai istilah tahdib al-milkiyyah yang bererti menghadkan pemilikan dan al-ta’mim yang beerti memilik negarakan.

            Had maksimum pemilikan harta tanah atau memilik-negarakan harta tersebut telah berlaku di mana-mana sahaja. Misalnya di Pakistan, tanah-tanah kepunyaan rakyat asing dan anak negeri dirampas daripada orang-orang kaya dan diberi kepada petani-petani semasa Presiden Ayob Khan.[10]

6.1       KUASA PELUPUSAN TANAH MELALUI PEMBERIAN MILIK TANAH OLEH PIHAK BERKUASA NEGERI.

Kuasa pelupusan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri amat luas tanpa ada had mahupun sekatan, kecuali pada tahun 1985 di mana terdapat sekatan tentang pelupusan tanah kerajaan dan tanah beri milik kepada warganegara asing dan syarikat asing. Walau bagaimanapun sekatan tersebut telah dimansuhkan pada tahun 1986, melalui Akta 658/1986, yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1987. Untuk masa ini, sekatan yang masih ada hanyalah sekatan terhadap pelupusan tanah kategori pertanian yang kurang daripada dua perlima hektar. Dalam pada itu Kanun Tanah Negara tidak juga menyatakan berapa luas sesuatu pelupusan dan pemberian tanah boleh dilakukan, malahan segala-galanya adalah terserah kepada budi bicara Pihak Berkuasa Negeri.[11]

            Dasar pemberian milik dan pelupusan tanah yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui peruntukan seksyen 43 Kanun Tanah Negara adalah dianggap sebagai bercanggah dengan prinsip undang-undang tanah Islam. dasar liberal kerajaan dalam konteks amalan sistem ekonomi kapitalis di negara ini membolehkan serta membenarkan sesiapa sahaja memiliki atau membeli tanah tidak kira warganegara atau warganegara asing seberapa banyak yang mereka mahu, asalkan mereka berkemampuan dari segi kewangan dan seumpamanya. Dasar ini adalah dianggap bertentangan dengan prinsip Islam dari beberapa aspek misalnya dari aspek kegiatan monopoli hartanah dalam kalangan segelintir manusia sahaja dan agihan kekayaan negara (tanah) berlaku secara tidak adil dalam kalangan rakyat.

            Dalam undang-undang tanah Islam, dasar utama pelupusan tanah kepada rakyat adalah semata-mata untuk dibangunkan, dikerjakan dan dimakmurkan, berdasarkan kemampuan mereka. Oleh hal yang demikian, dasar pelupusan tanah dalam Islam hendaklah berlandaskan pada ciri-ciri berikut:[12]

      1.  Kepentingan awam (maslahah ‘ammah)
      2.  Warganegara yang layak, dan
      3.  Keluasan tanah hendaklah mengikut keupayaan membangun dan mengerjakan tanah itu.

Dalam sejarah pentadbiran tanah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w dan para khulafah ar-rasyidin selepasnya, ketiga-tiga ciri di atas diambil kira dalam pemberian milik tanah kepada rakyat. Misalnya pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a, beliau tidak membahagikan tanah sawad yang terletak di Iraq iaitu harta ghanimah kepada para tentera-tentera Islam atas alasan untuk memastikan kepentingan awan terpelihara (maslahah ‘ammah) iaitu generasi-generasi muslim pada masa akan datang dan untuk mengelak daripada berkembangnya fahaman tuan-tuan tanah (landlordism). Bagi memastikan pembangunan tanah sawad berjalan lancar, maka Khalifah Umar hanya melupuskan tanah-tanah tersebut kepada bukan warganegara Islam dalam bentuk pajakan secara bertempoh (iqta’ istighlal), dan Baitulmal negara Islam berhak menerima kharaj (cukai tanah), sama ada dalam bentuk kharaj wazifah ataupun kharaj muqasamah pada tiap-tiap tahun.

7.1       KESIMPULAN

Dengan keterangan di atas, jelaslah seksyen 43, Kanun Tanah Negara adalah bercanggah dengan falsafah dan prinsip undang-undang Islam. Sebenarnya undang-undang tanah Islam telah berkembang sejajar dengan perkembangan undang-undang penaklukan sebagaimana yang telah disebut sebelum ini dan oleh sebab itu ia pelupusan dan pemberian milik tanah telah diatur dengan baik dan amat berkesan sekali. Pemilikan tanah rampasan perang (ghanimah) dalam sesebuat negara yang ditakluki bermakna penguasaan pemilik-pemilik dan tuan-tuan punya tanah terhadap negara berkaitan. Oleh yang demikian, dicadangkan supaya seksyen 43 itu dipinda dengan mewujudkan semula seksyen-seksyen 433A hingga 433E yang mula dikanunkan pada 1985 dan dimansuhkan pada 1 Januari 1987. Peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam seksyen-seksyen tersebut selaras dengan kehendak undang-undang tanah Islam.[13]



8.1       LAMPIRAN
                               I.            Syarat pemilikan hartanah oleh warganegara asing dan syarikat asing di Melaka.
                            II.            Syarat pemilikan hartanah oleh warganegara asing dan syarikat asing di selangor.



9.1       RUJUKAN
ptg.melaka.gov.my
ptg.selangor.gov.my
Ridzuan Awang. 1985. Pengambilan Balik Tanah: Satu Kajian Mengikut Undang-Undang Sivil dan Islam. Jurnal Islamiyat 6. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan malaysia.
Ridzuan Awang. 1994. Undang-Undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Salleh Buang. 1993. Undang-undang tanah di Malaysia.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.





*Penulisan ini adalah tugasan untuk Subjek Undang-undang Tanah Perbandingan yang di kelola oleh Prof Madya Ridzuan Awang (Penulis Buku) dan Encik Yazid Ahmad dari UKM.