Pages

Monday 20 May 2013

Pemberian Tanah Kepada Warganegara Asing dan Syarikat Asing menurut Undang-undang Malaysia Dan Perbandingan Dengan Undang-undang Islam





1.1       PENGENALAN

Sebagai pemilik tanah yang mutlak kepada semua tanah kerajaan dalam wilayahnya, pihak kerajaan iaitu pemerintah berhak untuk melupuskan tanah kepada sesiapa sahaja yang ia fikirkan patut. Menurut Kanun Tanah Negara atau KTN, Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk melupuskan tanah kepada sesiapa sahaja yang ia fikirkan wajar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Hal ini juga adalah sama dalam undang-undang Islam.

            Dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan tentang dasar pemberian milik tanah kepada warganegara asing di malaysia dan perbandingannya dengan Undang-undang Tanah Islam.


2.1       PEMBERIAN MILIK TANAH

Sebagai pemilik mutlak kepada semua tanah kerajaan dalam wilayahnya, Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk melupuskan tanah kepada sesiapa sahaja yang difikirkan patut olehnya, tertakluk pada pembayaran cukai tahunan, premium dan fee beserta syarat-syarat lain yang ditetapkan olehnya. Kanun Tanah Negara tidak terikat pada prinsip Tahdid sepertimana yang terdapat dalam Undang-undang Tanah Islam, dan oleh yang demikian apa jua had atau sekatan yang wujud mengenai kuasa pelupusan adalah kehendaknya sendiri, berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan ekonomi, faktor alam sekitar dan kepentingan politik.

            Kuasa pelupusan yang terdapat pada Pihak Berkuasa Negeri terkandung dalam seksyen 42 Kanun Tanah Negara, iaitu seperti berikut:

a. Untuk memberi milik tanah kerajaan untuk suatu jangka masa tidak melebihi 99 tahun atau untuk selama-lamanya berdasarkan peruntukan seksyen 76 Kanun Tanah Negara;
b.      Untuk merizabkan tanah kerajaan, dan memberi pajakan tanah rizab, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 2 Bahagian Empat;

c.  Untuk membenarkan mengeluar dan mengambil dari mana-mana tanah, selain dari hutan simpanan, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 3 Bahagian Empat;

d.      Untuk membenarkan penggunaan ruang udara atas tanah kerajaan atau tanah rizab selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 4 Bahagian Empat dengan syarat bahawa ruang udara tersebut hendaklah dalam lingkungan rangkai apa-apa jenis yang dibina di atasnya.

Dalam menjalankan kuasa pelupusan di bawah seksyen 42 Kanun Tanah Negara, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai budi bicara membuat pelupusan kepada orang dan perbandaran sepertimana dalam seksyen 43 Kanun Tanah Negara seperti berikut:

a.  Orang-orang biasa selain daripada remaja di bawah umur;

b.    Perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan mereka untuk memegang tanah;

c.       Raja-raja pemerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular 1957;

d.     Badan-badan yang diberi kuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.[1]

Dalam pada itu, terdapat juga sekatan dan had ke atas kuasa yang ada pada Pihak Bekuasa Negeri, iaitu dari segi kuasa meluluskan mana-mana tanah untuk maksud perlombongan, atau pengeluaran dan pemindahan bahan batu-batan bagi mendapatkan logam ataupun galian. Untuk menjalankan kuasa sedemikian rupa, Pihak Berkuasa Negeri perlu merujuk kepada undang-undang lain yang berkaitan dengannya. Akhir sekali kesan daripada pindaan undang-undang yang dikuatkuasakan pada 25 Mac 1985, Pihak Berkuasa Negeri tidak lagi boleh memberikan milik tanah pertanian yang kurang daripada dua-perlima hektar kepada lebih daripada seorang atau sebuat perbadanan, melainkan di bawah keadaan tertentu. [2]



3.1       PERUNTUKAN PEMILIKAN TANAH OLEH WARGANEGARA ASING DAN SYARIKAT ASING MENURUT KANUN TANAH NEGARA.

Menurut Kanun Tanah Negara rang yang boleh menerima pemilikan tanah atau melakukan apa-apa urusniaga terhadap tanah adalah mereka yang telah dinyatakan dalam seksyen 43 Kanun Tanah Negara. Seksyen 43 ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan atau tertakluk dalam Bahagian 33(A)  yang melibatkan seksyen 433A, seksyen 433B, seksyen 433C, seksyen 433D, seksyen 433E, seksyen 433E, seksyen 433F, seksyen 433G, dan seksyen 433H.


4.1       DASAR PEMBERIAN TANAH KEPADA WARGANEGARA DAN SYARIKAT ASING MENURUT KANUN TANAH NEGARA.

Sepertimana yang telah dinyatakan pada awal perbincangan dalam penulisan ini, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa pelupusan tanah kepada sesiapa sahaja yang dinyatakan dalam seksyen 43 pada tahun 1984, akan tetapi selepas pindaan dilakukan terhadap seksyen 43 pada tahun 1984, kuasa pelupusan yang ada pada Pihak Berkuasa Negeri adalah tertakluk kepada peruntukan yang termaktub dalam Bahagian 33(A).

            Ini bermakna bahawa Pihak Berkuasa Negeri sudah tidak bebas lagi dalam memberi milik semua jenis atau kategori tanah kepada warganegara asing mahupun syarikat-syarikat asing. Melalui pindaan yang dibuat ini, mereka sudah tidak boleh lagi memiliki tanah di negara ini, terutamanya tanah-tanah yang melibatkan tanah pertanian. Namun begitu, tanah-tanah perindustrian adalah dibenarkan. Manakala tanah kediaman dan perniagaan pula adalah adalah dibenarkan dengan syarat mendapat kebanaran daripada Pihak Berkuasa Negeri.[3]

            Bahagian 33(A) adalah merupakan bahagian baru dalam Kanun Tanah Negara. Bahagian ini mengemukakan seksyen-seksyen baru iaitu 433A, 433B, 433C, 433D, 433E, 433F, 433G dan 433H[4]; dimana seksyen-seksyen bahagian ini adalah merupakan peruntukan-peruntukan berkaitan sekatan-sekatan terhadap pemerolehan tanah oleh warganegara asing dan juga syarikat asing.

            Seksyen 433A adalah menerangkan maksud “syarikat asing”. Syarikat asing menurut seksyen 4 akta Syarikat 1965 adalah bererti satu syarikat perbadanan, pertubuhan, persatuan, atau lain-lain badan yang ditubuhkan di luar Malaysia; atau bukan satu perbadanan, pertubuhan, persatuan itu, atau lain-lain badan yang di bawah atau boleh memegang harta atas nama setiausaha atau pegawai lain dari badan atau persatuan itu dan syarikat yang tidak mempunyai ibu pejabat di Malaysia.[5]

            Daripada tafsiran tersebut adalah dapat diketahui dengan jelas bahawa syarikat asing adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di luar daripada negara Malaysia, atau ia mempunyai ibu pejabat bukan dalam negara Malaysia, atau ia mempunyai cawangan-cawangan di Malaysia; maka ia bolehlah dianggap sebagai syarikat asing.

            Manakala menurut seksyen 433B, bahawa warganegara asing atau syarikat asing adalah boleh dan dibenarkan memiliki tanah melalui pelupusan atau urus niaga ke atas tanah ke atas tanah beri milik dengan syarat bahawa pemerolehan tanah kategori kediaman dan kategori perniagaan oleh orang-orang atau badan-badan tersebut haruslah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Namun begitu, bagi tanah kategori perindustrian, pemerolehan tanah ini oleh warganegara asing ataupun syarikat asing, tidak disyaratkan mendapat persetujuan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Bagi kategori tanah pertanian, Pihak Berkuasa Negeri adalah tidak boleh memberi milik tanah kategori ini kepada warganegara asing dan syarikat asing.[6]

            Secara mudah dan ringkasnya dapatlah dilihat peruntukan seksyen 433B  adalah seperti yang berikut:

1.   Warganegara asing atau syarikat asing boleh memiliki tanah kategori perusahaan tanpa mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

2.     Warganegara asing atau syarikat asing boleh memiliki tanah kategori kediaman atau kategori perniagaan dengan syarat mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri.

3.     Warganegara asing atau syarikat asing tidak boleh sekali-kali memiliki tanah yang mempunyai kategori pertanian atau tanah yang mempunyai tujuan untuk pertanian.

Pindaan yang dibuat pada tahun 1984 juga telah memperuntukan bahawa sebarang pemerolehan tanah oleh warganegara asing dan syarikat asing yang melanggar Bahagian 33(A) ini adalah tidak sah dan terbatal.[7] Walaupun begitu, sekatan-sekatan terhadap warganegara asing atau syarikat asing di atas itu tidak terpakai bagi pemerolehan tanah yang mereka telah sedia ada.[8] Bahagian ini juga adalah tidak terpakai terhadap orang-orang ataupun badan-badan yang telah diberikan kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomat dan Konsul 1957 atau mana-mana badan yang diberikan kuasa memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Peruntukan-peruntukan dalam Bahagian 33(A) ini sebenarnya bukan bertujuan untuk menindas atau menyekat warganegara asing, syarikat-syarikat asing  ataupun badan-badan asing, akan tetapi ia sebenarnya adalah bertujuan untuk mengatur dan mengawal kegiatan di dalam urusan mereka berhubung dengan hal ehwal tanah, demi menjaga kebajikan negara.

Apa yang boleh disimpulkan disini untuk dasar pemberian tanah kepada warganegara asing dan syarikat asing berdasarkan Kanun Tanah Negara adalah bahawa Bahagian 33(A) Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1984, ia memberi kesan kepada warganegara asing dan syarikat asing berhubung hal ehwal tanah, seperti berikut:

      1. Warganegara asing dan syarikat asing tidak boleh sama sekali, apabila ia berkuatkuasa pindaan ini, memiliki atau memegang kepentingan atas tanah atau menerima cagaran tanah atau mengambil lelongan tanah atau melalui apa-apa cara sekalipun, tanah yang mempunyai kategori pertanian atau tanay yang mempunyai tujuan untuk pertanian. 

       2.Warganegara asing dan syarikat asing boleh memiliki atau menerima cagaran atau melalui apa jua cara yang dibenarkan untuk memiliki tanah-tanah yang bertujuan untuk kediaman atau perniagaan, dengan syarat mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri.

      3.  Bagi tanah-tanah perusahaan warganegara asing dan syarikat asing, mereka bolehlah memiliki atau menerima cagaran atau melalui apa-apa jua cara yang dibenarkan memiliki tanah-tanah tersebut tanpa perlu untuk mendapatkan kebenaran bertulis dari Pihak Berkuasa Negeri.

Walau bagaimanapun sekatan terhadap warganegara asing dan syarikat asing untuk memiliki tanah di negara ini menerusi pindaah seksyen 43, Kanun Tanah Negara 1965 (Pindaan) 1984 hanya berkuatkuasa selama satu tahun lebih sahaja. Sekatan-sekatan itu akhirnya telah dimansuhkan melalui pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1986. Pindaan itu berkuatkuasa pada 1 Januari 1987.

Dengan berlakunya pindaan pada seksyen 43 pada tahun 1986 itu, bermakna Bahagian 33(A), yang terkandung di dalamnya seksyen 433A, 433B,433C, 433D dan 433E telah dimansuhkan. Akibat pindaan itu, semua orang sama ada warganegara asing ataupun warganegara boleh memiliki tanah di negara ini tanpa apa-apa sekatan.[9]


5.1       DASAR PEMBERIAN TANAH KEPADA WARGANEGARA DAN SYARIKAT ASING MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM.

Dalam undang-undang Islam, pemilikan tanah ini adalah berkaitan dengan proses penaklukan wilayah. Hal ini jika warganegara asing dan syarikat asing memiliki tanah dengan skala yang kecil adalah tidak mengapa, yang menjadi masalah ialah jika sekiranya warganegara asing dan syarikat asing memiliki tanah dengan skala yang besar, ia seolah-olah menunjukkan berlakunya penaklukan di situ. Oleh sebab itu undang-undang Islam telah menetapkan bahawa pemerintah atau kerajaan hendaklah mengawal supaya pemilikan tanah oleh warganegara asing dan syarikat asing tidak berlaku secara berleluasa.

            Perkembangan awal undang-undang tanah Islam ini adalah berasal daripada undang-undang penaklukan. Apabila kerajaan Islam menakluki sesebuah kawasan atau negara, maka bermulalah di situ persoalan berkaitan Ghanimah, al-fayy, dan sebagainya yang terletak di negara tersebut. Pada permulaan pemberian milik tanah, hasil daripada penaklukan, tanah-tanah itu dibahagikan kepada tentera-tentera Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan khulafa ar-rasyidin. Semakin banyak tanah semakin luas kuasa yang dimiliki.

            Hal ini adalah sama dengan konteks undang-undang sivil pada masa kini. Misalnya di India, kebanyakan tanah hampir 90% adalah dimiliki oleh land lord atau tuan tanah. Kesannya terutama dari segi politik, apabila mereka memiliki tanah yang banyak, maka kuasa politik tuan-tuan tanah semakin tinggi dan kuat. Jadi mereka dapat menentukan siapa yang layak mentadbir negara dan sebagainya.

            Sebab itu dalam Islam, agihan kekayaan terutamanya pemilikan tanah ini dikawal oleh kerajaan dan juga pemerintah negara. Atas sebab itu dalam undang-undang Islam mempunyai istilah tahdib al-milkiyyah yang bererti menghadkan pemilikan dan al-ta’mim yang beerti memilik negarakan.

            Had maksimum pemilikan harta tanah atau memilik-negarakan harta tersebut telah berlaku di mana-mana sahaja. Misalnya di Pakistan, tanah-tanah kepunyaan rakyat asing dan anak negeri dirampas daripada orang-orang kaya dan diberi kepada petani-petani semasa Presiden Ayob Khan.[10]

6.1       KUASA PELUPUSAN TANAH MELALUI PEMBERIAN MILIK TANAH OLEH PIHAK BERKUASA NEGERI.

Kuasa pelupusan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri amat luas tanpa ada had mahupun sekatan, kecuali pada tahun 1985 di mana terdapat sekatan tentang pelupusan tanah kerajaan dan tanah beri milik kepada warganegara asing dan syarikat asing. Walau bagaimanapun sekatan tersebut telah dimansuhkan pada tahun 1986, melalui Akta 658/1986, yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1987. Untuk masa ini, sekatan yang masih ada hanyalah sekatan terhadap pelupusan tanah kategori pertanian yang kurang daripada dua perlima hektar. Dalam pada itu Kanun Tanah Negara tidak juga menyatakan berapa luas sesuatu pelupusan dan pemberian tanah boleh dilakukan, malahan segala-galanya adalah terserah kepada budi bicara Pihak Berkuasa Negeri.[11]

            Dasar pemberian milik dan pelupusan tanah yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui peruntukan seksyen 43 Kanun Tanah Negara adalah dianggap sebagai bercanggah dengan prinsip undang-undang tanah Islam. dasar liberal kerajaan dalam konteks amalan sistem ekonomi kapitalis di negara ini membolehkan serta membenarkan sesiapa sahaja memiliki atau membeli tanah tidak kira warganegara atau warganegara asing seberapa banyak yang mereka mahu, asalkan mereka berkemampuan dari segi kewangan dan seumpamanya. Dasar ini adalah dianggap bertentangan dengan prinsip Islam dari beberapa aspek misalnya dari aspek kegiatan monopoli hartanah dalam kalangan segelintir manusia sahaja dan agihan kekayaan negara (tanah) berlaku secara tidak adil dalam kalangan rakyat.

            Dalam undang-undang tanah Islam, dasar utama pelupusan tanah kepada rakyat adalah semata-mata untuk dibangunkan, dikerjakan dan dimakmurkan, berdasarkan kemampuan mereka. Oleh hal yang demikian, dasar pelupusan tanah dalam Islam hendaklah berlandaskan pada ciri-ciri berikut:[12]

      1.  Kepentingan awam (maslahah ‘ammah)
      2.  Warganegara yang layak, dan
      3.  Keluasan tanah hendaklah mengikut keupayaan membangun dan mengerjakan tanah itu.

Dalam sejarah pentadbiran tanah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w dan para khulafah ar-rasyidin selepasnya, ketiga-tiga ciri di atas diambil kira dalam pemberian milik tanah kepada rakyat. Misalnya pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a, beliau tidak membahagikan tanah sawad yang terletak di Iraq iaitu harta ghanimah kepada para tentera-tentera Islam atas alasan untuk memastikan kepentingan awan terpelihara (maslahah ‘ammah) iaitu generasi-generasi muslim pada masa akan datang dan untuk mengelak daripada berkembangnya fahaman tuan-tuan tanah (landlordism). Bagi memastikan pembangunan tanah sawad berjalan lancar, maka Khalifah Umar hanya melupuskan tanah-tanah tersebut kepada bukan warganegara Islam dalam bentuk pajakan secara bertempoh (iqta’ istighlal), dan Baitulmal negara Islam berhak menerima kharaj (cukai tanah), sama ada dalam bentuk kharaj wazifah ataupun kharaj muqasamah pada tiap-tiap tahun.

7.1       KESIMPULAN

Dengan keterangan di atas, jelaslah seksyen 43, Kanun Tanah Negara adalah bercanggah dengan falsafah dan prinsip undang-undang Islam. Sebenarnya undang-undang tanah Islam telah berkembang sejajar dengan perkembangan undang-undang penaklukan sebagaimana yang telah disebut sebelum ini dan oleh sebab itu ia pelupusan dan pemberian milik tanah telah diatur dengan baik dan amat berkesan sekali. Pemilikan tanah rampasan perang (ghanimah) dalam sesebuat negara yang ditakluki bermakna penguasaan pemilik-pemilik dan tuan-tuan punya tanah terhadap negara berkaitan. Oleh yang demikian, dicadangkan supaya seksyen 43 itu dipinda dengan mewujudkan semula seksyen-seksyen 433A hingga 433E yang mula dikanunkan pada 1985 dan dimansuhkan pada 1 Januari 1987. Peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam seksyen-seksyen tersebut selaras dengan kehendak undang-undang tanah Islam.[13]



8.1       LAMPIRAN
                               I.            Syarat pemilikan hartanah oleh warganegara asing dan syarikat asing di Melaka.
                            II.            Syarat pemilikan hartanah oleh warganegara asing dan syarikat asing di selangor.



9.1       RUJUKAN
ptg.melaka.gov.my
ptg.selangor.gov.my
Ridzuan Awang. 1985. Pengambilan Balik Tanah: Satu Kajian Mengikut Undang-Undang Sivil dan Islam. Jurnal Islamiyat 6. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan malaysia.
Ridzuan Awang. 1994. Undang-Undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Salleh Buang. 1993. Undang-undang tanah di Malaysia.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.





*Penulisan ini adalah tugasan untuk Subjek Undang-undang Tanah Perbandingan yang di kelola oleh Prof Madya Ridzuan Awang (Penulis Buku) dan Encik Yazid Ahmad dari UKM.