Pages

Saturday 23 June 2012

Jangan Lupa Kontrak itu..


Memikirkan tentang midterm undang-undang kontrak pagi tadi, bagaimana aku menjawab jawapan bagi setiap soalan? Apakah betul atau salah jawapan aku itu? Apakah seksyen-seksyen dalam Akta Kontrak 1950 itu aku guna sepenuhnya untuk menjawab semua soalan-soalan itu?

Termenung.

Sementara itu, aku sedang berehat sebentar sebelum sambung mengulangkaji nota-nota untuk kertas peperiksaan aku yang terakhir untuk semester ini pada 26 Jun 2012 nanti. Undang-undang Kontrak itulah kertas terakhir yang aku maksudkan. Tadi baru sahaja selesai midterm, dah kena prepair untuk peperiksaan akhir pula. Itu semua pensyarah aku punya perancangan. Aku selaku pelajar kena ikut sahaja.

Kembali pada apa yang aku fikirkan sebentar tadi. Undang-undang kontrak bukanlah subjek asing kepada pelajar undang-undang. Satu subjek yang terkandung di dalamnya, pengenalan atau tatacara membuat sesuatu kontrak, pembatalan , remedi dan sebagainya.

Tatkala aku memikirkan semua itu, tentang kontrak yang berlaku antara manusia dengan manusia yang lain, antara pemerintah dan rakyat, timbul tanda tanya bagaimana pula kontrak aku dengan Allah sebelum ini?

Apakah aku telah menerima tawaran daripada Allah? Tawaran untuk menjadi hamba yang soleh, tawaran syurga dan sebagainya.

Apakah aku telah membuat penerimaan? Melakukan apa yang telah disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang? Penerimaan melalui niat dan perbuatan aku seperti mengerjakan solat, menunaikan puasa dan sebagainya.

Apakah yang akan aku kesan tatkala aku melanggar kontrak dan perjanjian? ........

Penuh persoalan.

Kita semua telah membuat perjanjian. aku, kamu, kau, awak, dia dan sesiapa sahaja, baik Muslim atau tidak, kontrak yang telah dilafazkan dan telah dimeterai di alam roh dahulu.

Setelah kita hadir ke dunia, kita kenal dunia, akhirnya kita dibuai dengan keindahan dan kemanisannya, tanpa sedar sedikit demi sedikit kita mula melupakan terma-terma kontrak tersebut.

Zrraapp...

Aku menarik zip al-Quran aku, dan menyelak helaian-demi helaian bait-bait kalam Allah itu.

Allah berfirman yang bermaksud : "Dan ( ingatlah), ketika TuhanMu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : ' Bukankah Aku ini TuhanMu?' "Mereka menjawab : 'Betul (Engkau Tuhan Kami), kami menjadi saksi.' (Kami lakukan yang demikian itu) agar pada hari Kiamat kamu tidak akan mengatakan : 'Sesungguhnya kami (bani Adam) ialah orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)." (Surah al-'Araf : 172)

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Ku.”
 (adz-Zariyat : 56)

Lihatlah kontrak yang telah kita buat di atas. Kontrak yang telah kita tandatangani dengan mengatakan bahawa Allah adalah tuhan kita.

Jika kita selalu ingat "perjanjian" dan "kontrak" yang pernah ditandatangani dulu, maka perjalanan kita mencari redha Allah pasti akan jarang tersasar walau iman ada naik dan turunnya. Kekallah fokus demi memenuhi kontrak yang pernah dimeterai dulu dengan sentiasa mengikut majlis ilmu dan mengamalkan ilmu yang ada, bergaul dengan orang soleh dan selalu bermuhasabah diri.

InsyaAllah, sekiranya kontrak itu kita ikuti, nescaya ia akan menjadi kontrak yang berjaya.


 Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment