Pages

Monday 24 January 2011

~ Kuasa memberi~



Pernahkah korang dengar orang berkata “sesiapa yang memberi lebih cinta maka dialah yang mendapat lebih memberi”? Justeru, kalau kurang memberi maknanya itu petanda “kurangnya cinta”. apabila kurang rasa cinta, tergugatlah persaudaraan dan rengganglah perpaduan.. Errmm aku dapat tahu tentang ni pun daripada Ketua Editor Majalah Solusi, En. Pahrol Mohamad Juai.

            Bila difikir dan direnungi, ada betulnya kata-kata beliau. Kita selalu mengharapkan sesuatu daripada orang lain, tak kiralah pujian, penghargaan, hadiah, perhatian dan sebagainya. Betul tak cakap aku? Namun, pernahkah kalian semua terfikir, tak kiralah sesaat, seminit atau sejenak, apa yang kita dah lakukan atau buat untuk orang lain? Tak banyak pun sedikit..

            Oleh itu, hidup ini akan harmoni hanya apabila kita banyak memberi bukan menerima. Dalam artikel beliau, katanya lagi, hidup ini ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat, bukan bagaimana memberi. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Padahal hidup ini bukan untuk bersaing, tetapi saling berkongsi. “we are here to complete not to compete!” –kita hidup di dunia ni bukan untuk bersaing tetapi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

             Aku ni bukanlah sesiapa pun…nak kata ustaz, berilmu pun sedikit. Jauh sekali mufti, pensyarah pun tidak. Tetapi cukuplah aku mengambil sedikit ilmu orang lain untuk disebarkan. Kan memberi itu lebih mulai dari menerima. Muliakah diriku ini??? Hahaha

            Aku masih lagi teringat waktu sekolah masa aku masuk tingkatan enam kat SMAP Labu. Salah sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan. Waktu tu aku di tingkatan enam atas. Aku ada kawan namanya Nur. Suatu hari tu, dia bersedih dalam kelas sejarah. Semua orang hairan kenapa Nur ni menangis dalam kelas. Maklum la lelaki, nak tegur perempuan yang sedang bersedih ni jadi serba salah pula. Apa lagi, budak-budak lelaki mula bercakap sesama sendiri. Bila ditanya pada Nur, tak dijawab persoalan itu. Sehingga lah ada budak-budak perempuan yang satu kelas dengan kitorang bagi tahu. Rupa-rupanya, Nur ni sedih sebab ayahnya cedera sewaktu enjin lori kepunyaan ayahnya meletup. Baru la persoalan yang berlegar-legar di kepala ini terjawab.

            Selepas selesai kelas sejarah, aku dengan kawan sekelas, namanya Wan pergi jumpa dengan Nur. Isshh..apasal jadi busy body ni..hahaha.. kononnya nak bertanya khabar si budak Nur ni. Bila jumpa dengan Nur, dia hanya mampu senyum dalam tangisan. Wan, dengan beraninya berkata “jangan la bersedih, inikan dugaan”. Aku hanya mampu menaruh simpati dalam hati tanpa berkata apa-apa. Nur bagi tahu, dia sedih sangat sebab mak dia tak bagi tahu langsung tentang keadaan ayahnya yang kemalangan tu. Sampailah adiknya bagi tahu. Itu pun selepas satu minggu. 

          Nak dijadikan cerita, pada hari yang sama, kebetulan pada hari tu adalah waktu outing untuk pelajar putera. Sewaktu tengah sibuk membeli-belah di Giant kat Terminal One, Seremban, bila aku nampak sahabat aku yang bernama Faris membeli coklat, teringat pula pada budak Nur yang aku ceritakan tadi. Kitorang pun beli satu bar coklat untuk Nur tu. Mungkin dengan memberi coklat dapat menggembirakannya. 

Pada keesokkannya, oleh kerana cuti hujung minggu, kitorang minta tolong dari kawan perempuan satu kelas beri coklat yang dibeli tu pada Nur. Petang itu, sewaktu aku hendak ke kelas mengambil buku latihan aku yang tertinggal bawah meja, aku nampak Nur turun dari asrama dengan wajah tersenyum. Aku rasa sangat gembira. Baru aku tahu, walaupun diberi coklat yang murah, tapi ia memberi sesuatu yang mahaldan bermakna.

           Kini barulah aku tahu, kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak “memiliki” tetapi kerana banyak “memberi”. Justeru Allah itulah zat Yang Maha Kaya, kerana Dialah yang paling banyak memberi.
            Betulkan, jika kita banyak memberi kita akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta pula adalah alat. Jangan tertukar antara matlamat dan alat..  

            Cuba kalian ingat kembali hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira, gembirakanlah orang lain. 

          Sambung cerita aku yang tadi balik, bila si budak Nur ni dah senyum dan ceria macam biasa. Kitorang ni lagi la rasa gembira. Betul cakap orang, senyum tu ada dua. Senyuman pertama adalah senyum kerana mendapt kegembirana. Senyuman kedua pula adalah senyum kerana hendak memberi kegembiraan. Senyuman kedua adalah lebih tinggi nilainya seperti dalam hadis Rasulullah s.a.w.
         
            Sabda Baginda :
“Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah”
                                                                        ( riwayat al-Tarmizi )





No comments:

Post a Comment