Pages

Tuesday 31 December 2019

BAIK DAN BURUK



Dalam kehidupan di dunia ini, Allah SWT sengaja mewujudkan dua cabang pilihan kepada manusia. Cabang pilihan berkenaan tidak lain dan tidak bukan, hanya bertujuan untuk menguji manusia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dua cabang pilihan tersebut adalah kebaikan dan keburukan.

Firman Allah dalam surah al-Balad ayat 10 bererti:

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?”

Dua jalan tersebut adalah jalan kebaikan dan jalan keburukan. Ayat ini menjelaskan betapa allah SWT sengaja dengan kudrat dan iradat-Nya mencipta manusia, kemudian menjadikan pula dua jalan untuk pilihan manusia tersebut menjalani kehidupannya di dunia. Kehidupan di dunia ini adalah tempat manusia diuji. Maka, mereka diuji dengan pilihan.

Berlainan dengan kehidupan di akhirat, yang mana ia adalah natijah daripada siri-siri ujian di dunia. Di akhirat sana, manusia sudah tidak diberikan pilihan lagi, melainkan mereka terpaksa tunduk seratus peratus kepada kehendak Allah STW. Jika di dunia, ada perkara yang mereka dapat pilih dan ada juga yang tidak, seperti hujan dan panas namun diakhirat, semuanya sudah tidak menjadi pilihan lagi, melainkan buah atau hasil daripada sejarah pilihan mereka di dunia.

Hakikat di dunia sejak akhir-akhir ini, ramai sungguh manusia yang sudah hilang pedomannya. Kebenaran dilihat sebagai keburukan malah kebatilan pula dilihat sebagai idola yang perlu dipelajari, dihayati dan diamalkan bersungguh-sungguh. Sedangkan janji Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis:

            “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana sekiranya kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya, kamu tidak akan sesat (yakni tidak akan mengikut jejak langkah syaitan, hawa nafsu, keburukan dan kebatilan) selama-lamanya iaitu: Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW”

            Berbahagialah mereka yang benar-benar mukhlas kepada Allah, lalu mereka diselamatkan daripada hasutan iblis dan syaitan, kemudian mereka akan berbahagia pula pada kehidupan di akhirat yang dipenuhi dengan nikmat-nikmat. Semoga kita ini tergolong dalam kalangan mereka yang mukhlas kepada Allah.

            Tanggal hari ini 31 Disember 2019, hari terakhir tahun 2019. Pemilik blog ini juga insyaAllah bakal melangkah ke umur 3 series. Diharapkan tahun 2020 yang akan menjelang, menjadikan pemilik blog ini lebih dekat dengan agama. Dapat meninggalkan perkara-perkara yang buruk dan berusaha membuat kebaikan dalam mencari rahmat dan kasih sayang Allah. Amiin.




No comments:

Post a Comment